orang yaman... kita bila lagi ~ ThE GrEaT MaPLeY

Join The Community

Premium WordPress Themes

Ahad, 31 Mei 2009

orang yaman... kita bila lagi

Salam kepada semua rakan-rakan Al-Hikmah. Selamat berhujung minggu dan juga selamat cuti sekolah kepada semua. Hari ini saya nak kongsikan satu artikel yang cukup menarik untuk kita baca buat menjadi pendorong kepada kita, keluarga kita dan rakan-rakan kita insyaallah.

Ianya adalah hasil tulisan Saudara Imran Al-Malizi (Wartawan di Republik Yemen). Baca dan hayati betul-betul tulisan beliau.

Apabila diberi peluang untuk menulis tentang Yaman, fikiran penulis terus tertumpu pada fenomena solat berjemaah yang diamalkan oleh masyarakatnya. Sudah 4 tahun penulis berada di kota Sana'a, ibu negara bagi Republik Yemen . Percaya atau tidak, hampir kesemua masjid di kota ini dipenuhi dengan jemaah pada setiap solat lima waktu. Terdapat masjid yang para jemaah akan melimpah sampai ke luar atau paling kurang 3/4 masjid akan penuh dengan hamba-hamba Allah yang menunaikan solat fardu termasuklah solat subuh! Mengenangkan suasana yang berbeza di tanah air kita, solat zohor pun jarang sangat boleh penuh dua saf apatah lagi solat subuh. Waktu maghrib dan isyak bolehlah diberikan pengecualian, kerana ramai sudah pulang bekerja. Itu pun tidak di semua masjid. Kalau masjid yang terletak di atas bukit kawasan perumahan orang-orang berkedudukan tinggi, lebih menyedihkan lagi. Kata seorang teman yang menjawat jawatan imam di sebuah masjid kawasan elit, solat jumaat sekali pun susah nak kumpulkan para jemaah sedangkan masjidnya besar dan mewah. Manakan tidak, penduduk di situ suka menderma tapi kurang berminat untuk berjemaah. Simpanan masjid sudah mencecah lebih setengah juta, tetapi masjid tetap sunyi daripada hidayah. Solat maghrib pun tak sampai satu saf.

Kembali ke Yaman, masjid-masjid di sini sangat sederhana sifatnya, akan tetapi hidup dengan berjemaah dan pengajian ilmu dalam pelbagai bidang. Halaqah pengajian al-quran dan kitab-kitab hadis boleh didapati bermula selepas subuh sehinggalah selepas Isyak! Para penuntut ilmu boleh memilih mana-mana halaqah pengajian secara bertalaqqi. Nanti dalam kesempatan yang lain, penulis akan bercerita pula tentang pengajian talaqqi yang tradisional di sini. Ini juga antara penyebab masyarakat Yaman dapat menghidupkan solat berjemaah.

Timbul juga persoalan di dalam kotak fikiran penulis. Apa yang menyebabkan masyarakat Yaman begitu menjaga solat berjemaah? Jika nak dikatakan hanya mereka mengetahui fadilat solat berjemaah yang 25 atau 27 kali ganda ganjarannya menurut beberapa riwayat hadis, rasanya masyarakat Melayu di sini pun tahu juga. Dah letih mulut para ustaz dan penceramah menyebutnya dan tak kurang juga ditulis makalah dalam akhbar dan majalah. Tapi sayang, orang kita tidak berminat untuk merebut fadilat ini, "..serahkan pada ustaz-ustaz, tok imam dan tok lebai sudahlah," ujar mereka. Lalu di negara Yaman ini, apakah yang mendorong pemandu teksi, peniaga buah, penjaga kedai runcit, mekanik, peniaga tepi jalan, penguli roti dan lain-lain berhenti daripada membuat kerja apabila mendengar seruan azan lalu berpusu-pusu ke masjid-masjid yang berdekatan untuk menyahut panggilan Allah?

Secara pandirnya, penulis membuat telahan. Mungkin kerana tuntutan hidup di bumi Yaman ini tidak seperti di Malaysia , manusia mundar-mandir bertarung dengan waktu untuk mengejar tuntutan material yang semakin mendesak. Hinggakan ada yang tidak solat langsung. Jadi kira baguslah kalau ada juga hamba Allah yang sempat solat pada akhir-akhir waktu. Benarkah begitu? Rasanya tuntutan hidup di Yaman juga semakin menekan dengan kenaikan harga gandum, minyak masak dan keperluan harian yang lain. Sewa rumah juga meningkat setiap tahun. Alasan mengejar keperluan hidup tidak boleh dipakai sama sekali. Solat berjemaah tidaklah mengambil masa yang lama. Kadang kala bagi sesetengah orang, masuk ke tandas atau melepak di warung lebih banyak memakan waktu.

Sebenarnya, sifat berpegang teguh dengan agama telah mendarah daging dalam kehidupan masyarakat Yaman. Budaya tegur-menegur dan nasihat-menasihati dipandang baik dan sihat dalam sosio-budaya di sini. Orang-orang yang berjalan ke masjid, apabila melihat saudara mereka masih leka dengan urusan dunia, mereka akan menegur, "As-Solah! As-Solah! Ya Thoib!" yang kira-kiranya bermaksud; "(Mari kita) solat! (mari kita) solat! Wahai orang yang baik!" Orang yang menegur tampak ikhlas, manakala orang yang ditegur pula tidaklah bersikap negatif. Malah berterima kasih pula. Inilah kualiti yang tiada pada orang kita, yang mahu menegur berasa malu takut dituduh mengada-ngada, yang ditegur pula selalu bersangka buruk; "Alah! Macamlah engkau tu baik sangat! Aku pun tau laa.." Tentu kita pun kadang kala ada perasaan atau pernah berada dalam situasi begitu.

Firman Allah S.W.T: "Dan berikanlah peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang yang beriman." (Surah az-Zariyat: 55). Begitulah, apa yang kita perlukan sebenarnya adalah budaya tegur-menegur dan saling ingat-mengingati. Ini kerana perangai 'Melayu' ini masih terbawa-bawa walaupun para pelajar berada di bumi Timur Tengah. Entahlah, itu sekadar penilaian penulis, mungkin boleh menyinggung sesetengah pihak. Bukan mahu bersikap pesimis, tapi itulah hakikatnya. Walaupun begitu, masih ramai para pelajar yang 'bersih hatinya' dapat memanfaatkan peluang berada dalam suasana keimanan di sini. Antara ungkapan kenalan-kenalan penulis yang baru dan lama, "Ramainya solat berjemaah! Nikmat sungguh di sini, masjid-masjidnya penuh, safnya rapat dan lurus." Barangkali, inilah rahsianya yang menyebabkan masyarakat Yaman beristiqamah dengan solat berjemaah. Kerana ada rasa ukhuwah, kebersamaan, kasih sayang, hubungan antara hati ke hati. Mereka akan berasa kesal sekiranya tertinggal satu waktu tidak dapat berjemaah di masjid. Ini diakui sendiri oleh salah seorang guru penulis selepas beliau melepaskan jawatan imam masjid untuk berkhidmat di Kementerian Pendidikan Yaman. Kerana solat berjemaah mereka berhasil menyatukan hati-hati umat. Mereka mengikut sunnah merapatkan saf ketika solat. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w pernah bersabda: "Sesungguhnya hendaklah kamu menyamakan saf-saf kamu (dalam solat) atau Allah pasti akan memalingkan antara wajah-wajah kamu." Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam al-Nawawi r.h. telah menyatakan maknanya ialah (jika kamu tidak menyamakan dan merapatkan saf, kelak akan) diletakkan rasa permusuhan, kebencian dan perselisihan hati di antara kamu.

Barangkali inilah puncanya kita tidak merasa seronok untuk solat berjemaah. Satu ketika dahulu di Kuala Lumpur , penulis pernah melihat seorang imam dijerkah berulang kali oleh seorang pakcik apabila imam tersebut menyuruh para makmum melurus dan merapatkan saf sebelum memulakan solat berjemaah. Sekarang pakcik itu sudah meninggal dunia, semoga Allah mengampunkan kejahilannya. Persoalannya di sini, watak 'pakcik' seperti ini, penulis percaya masih wujud di mana-mana dalam masyarakat Melayu. Ramai yang berasa diri lebih senior dan lebih tahu.

Penulis masih ingat ketika mula-mula berada di Yaman, memang benar ada perasaan ukhuwah terbit dalam hati kita apabila kita merapatkan saf, bersentuhan antara bahu dengan bahu, kaki dengan kaki. Sekiranya anda berada di sini dan buat 'cara Melayu' (iaitu berdiri agak jarak dengan makmum di sebelah), jangan terperanjat jika makmum sebelah akan menarik lengan anda agar menjadi rapat. Cubalah lakukan begitu di tanah Melayu, mungkin ada yang akan meradang atau menganggap solat kita sudah terbatal..?

Ayuh kita rapatkan saf dan muhasabah diri mengenai solat dan amalan kita. Adakah sudah mendapat keredhaan Allah atau sekadar melepas batuk ditangga masjid sahaja!

Tepuk dada tanyalah iman kita.

Waallahua'alam.

(Nota: Artikel ini disiarkan dalam Harakah, Edisi Jumaat, 15-17 Ogos 2008, Fikrah-m/s F15)

0 ulasan:

Parking Kat sini.

Photobucket


[ Copy this | Start New | Full Size
]

DiKEheNdaKI

OrAnG LaMA-LAma : AsaL UsuL....